NURUL ANIZA
April 09, 2017
Persoalan nusyuz isteri
merupakan suatu isu kritikal dalam kehidupan berumah tangga. Daripada aspek
perundangan, isu pensabitan nusyuz isteri dilihat memerlukan penyelesaian
apabila beberapa permasalahan didapati mengganggu kelancaran pengendalian
kes-kes berkaitan dengannya.
Permasalahan tersebut ialah
kekaburan peruntukan berkaitan pensabitan nusyuz isteri dalam enakmen, prosedur
tuntutan sabitan nusyuz isteri yang kurang jelas dan beban pembuktian nusyuz
isteri yang berat sehingga membawa kepada penghakiman yang tidak konsisten.
Justeru, ia bertujuan untuk menganalisa peruntukan dan tatacara pensabitan
nusyuz dalam Enakmen Keluarga Islam Negeri Perak.
Seterusnya, turut menganalisa sama ada
penghakiman kes-kes nusyuz isteri di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh Perak dibuat
secara konsisten serta selaras dengan fiqh Islam. Selain itu, mendapati bahawa
peruntukan berkaitan nusyuz isteri ada dinyatakan dalam Enakmen Keluarga Islam
Negeri Perak, tetapi bukan khusus tentang pensabitan nusyuz sebaliknya
berkaitan kesan nusyuz terhadap nafkah. Penghakiman untuk pensabitan nusyuz
isteri pula didapati dibuat mengikut prosedur yang ketat dan bersifat
berhati-hati demi memastikan keadilan pihak-pihak yang bertelingkah dapat
ditegakkan selaras dengan fiqh Islam.
2.0 TAKRIF NUSYUZ
Nusyuz merupakan suatu isu
yang dibincangkan dalam syariat Islam di bawah bidang kekeluargaan atau
munakahat. Mustafa al-Bugha dan Mustafa al-Khin (1998) mentakrifkan nusyuz
sebagai keingkaran isteri terhadap suami dengan tidak mentaatinya seperti yang
telah diwajibkan oleh Allah. Allah s.w.t. menjelaskan dalam surah al-Nisa’ ayat 34 berkaitan
langah-langkah yang perlu diambil oleh suami sekiranya isteri nusyuz dengan
firmanNya yang bermaksud:
‘Dan perempuan-perempuan yang
kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati
mereka dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur dan (kalau
juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan
mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu
mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi,
Lagi Maha Besar.”
Al-Kasaniyy (1997) menyebut
bahawa seseorang isteri wajib mentaati suaminya apabila diajak untuk
bersetubuh. Begitu juga seseorang isteri wajib menyerahkan dirinya kepada suami
dan memelihara keaiban suami. Suami pula mempunyai autoriti untuk mendidik
(ta’dib) tatkala isteri tidak mentaatinya dalam perkara-perkara yang sepatutnya
ditaati kerana perkara ini dikira sebagai nusyuz.
Menurut Muhammad ‘Alish (1989)
pula, isteri yang nusyuz diertikan sebagai isteri yang terkeluar daripada
ketaatan terhadap suaminya, iaitu melarang suami daripada menyetubuhinya,
melarang suami daripada berseronok-seronok dengannya, keluar dari rumah tanpa izin
suami dan mengabaikan hak-hak Allah seperti mandi junub, solat dan puasa
Ramadhan.
Menurut pandangan al-Ashqar
(1998), nusyuz isteri ialah penderhakaan isteri terhadap suaminya dalam perkara
yang diwajibkan oleh Allah. Menurut al-Ashqar (1998) lagi, tanda-tanda nusyuz
isteri antaranya ialah keluar dari rumah suami tanpa izinnya, enggan menuruti
ajakan suami ke bilik tidur atau menuruti kehendak suami tetapi dalam keadaan
yang terpaksa dan kebencian.
3.0 ISTERI YANG MELAKUKAN NUSYUZ
Nusyuz berasal daripada
perkataan nasyaz yang bererti “tempat yang tinggi.” Ini menunjukkan bahawa
isteri dilarang untuk menyombongkan diri atau menempatkan diiri pada posisi
yang lebih tinggi berbanding suami.
Nasyaz juga bererti suara yang
sumbang. Nada yang nasyaz bererti nada yang keluar daripada keteraturan . Ianya
menyiratkan bahawa isteri tidak boleh menyimpang daripada ketaatan terhadap
suami.[1]
Seorang suami seharusnya
memerhatikan isterinya dan tidak membiarkannya melakukan nusyuz. Jika suami
merasa bahawa isterinya bersingkap bongkak dan enggan melaksanakan perintahnya,
maka dia harus memberinya peringatan.
Terdapat tiga fasa yang harus
dilakukan secara berturutan oleh suami dalam bertindak ke atas gejala-gejala
nusyuz daripada isterinya.
“…Perempuan-perempuan yang kamu
khuatirkan akan meninggalkan kewajipannya (nusyuz),hendaklah kamu beri nasihat
kepada mereka, tinggalkanlah mereka di tempat tidur dan pukullah mereka. Tetapi
jika mereka mentaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari alasan untuk
menyusahkan mereka….”
4.0 HUKUM NUSYUZ
Apabila seorang suami melihat
gejala-gejala nusyuz pada diri isterinya, dia boleh menasihatkannya. Apabila
isteri tetap ingkar, maka seorang suami boleh menjauhi isteri dari tempat
tidurnya. Apabila masih tetap membangkang, maka suami boleh memukulnya (dengan
pukulan yang tidak membahayakan). Dengan sikap nusyuz yang dilakukan seorang
isteri , maka seorang suami tidak wajib menggilir dan menafkahinya.[2]
Allah Taala berfirman:
وَالَّتِى تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنّض
فِى ألأْمَضَا جِعِ وضرِبُوهُنَّ
Ertinya: “Dan
perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz),
kamu hendaklah menasihat mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka
di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan
pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya)”.
5.0 SEBAB- SEBAB BERLAKUNYA NUSYUZ:
Seseorang isteri dikatakan
nusyuz apabila tidak mentaati suaminya dan melakukan perkara yang bersifat
ingkar kepadanya. Antara contoh perbuatan nusyuz seperti keluar rumah tanpa
sebab atau tanpa kebenaran suami, bermusafir tanpa izin suami, enggan membuka
pintu apabila suami hendak memasuki rumah, ingkar atau enggan bersetubuh dengan
suami tanpa keuzuran seperti sakit dan lain-lain.[3]
6.0 CARA MENGATASI NUSYUZ
Apabila tanda-tanda nusyuz
mula kelihatan daripada seseorang, seperti bersikap enggan dan bermasam muka,
sedangkan dia seorang yang berlemah lembut dan bermanis muka ataupun suami mendengar
isteri menutur kata-kata kesat yang bukan kebiasaannya.
Maka suami sunat menasihati
berdasarkan kepada kitab Allah swt dan mengigatkan tanggungjawabnya yang
diwajibkan oleh Allah swt tentang perhubungan yang baik dan pergaulan yang
mesra serta mengiktiraf martabat suami. Suami juga perlu mengingatkan isteri
tentang kemurkaan Allah swt serta balasan-Nya dan sunat mengigatkannya.
Rasulullah saw bersabda:
أيُّمَا امْرَأَةٍ مَانَتْ وَزَوُجُهَا عَىْهَا رَاضٍ دَخَلَتِ
الْجَنَّةَ
Maksudnya: “manaa-mana perempuan
yang meninggal dunia dalam keadaan suami redha dengannya, dia akan masuk
syurga. “[4]
Sekiranya dengan peringatan
itu isteri-isteri kembali menunaikan kewajipannya, itulah yang terbaik. Apabila
isteri benar-benar nusyuz dan terus enggan, suami hendaklah meninggalkannya
bersendirian di tempat tidur. Hal ini adalah kerana perbuatan tersebut sungguh
berkesan mendidiknya.
Jika isteri berubah menjadi
baik, cukuplah dengan perbuatan itu. Sebaliknya, jika isteri kembali nusyuz dan
terus ingkar, suami bolehlah memukulnya dengan pukulan mendidik tanpa
mencederakan tubuh badan dan mematahkan tulang, namun bukan di bahagian muka
atau tempat-tempat yang boleh mendatangkan bahaya. Pukulan ini dibolehkan jika
mengharapkan isterinya berubah dan
berasa dia akan kembali kepada sifat-sifat yang sepatutnya.
Jika suami menyedari bahawa
pukulannya tidak akan mengubah sikap isterinya, bahkan menambahkan kebencian,
maka suami tidak sepatutnya melakukannya.
Jika perselisihan antara
pasangan suami isteri tidak mampu diselesaikan oleh mereka, ia hendaklah dibawa
kepada hakim. Hakim hendaklah melantik dua orang tengah daripada orang Islam
yang adil dan berkebolehan berunding sebagai pendamai kepada suami isteri
tersebut. Kedua-dua pendamai itu sunat seorang daripada keluarga suami yang
dipersetujui dan seorang daripada keluarga isteri yang dipersetujuinya dan
seorang daripada keluarga isteri yang juga dipersetujuinya.
Kedua-dua orang tengah
tersebut hendaklah berusaha sedaya upaya mendamaikan suami isteri tersebut .
Jika usaha mereka Berjaya, itulah yang sebaik-baiknya. Sebaliknya, jika tidak
berjaya, suami hendaklah mewakilkan orang tengahnya untuk menceraikan isterinya
dan menebus (الخلع) daripada isteri.
Isteri juga mewakilkan orang
tengahnya untuk menyerahkan bayaran tebus tersebut sekiranya dia seorang yang
berakal , dan menerimanya. Penceraian suami isteri tersebut boleh diputuskan
oleh orang tengah kedua-dua pihak jika mereka berpendapat bahawa itulah yang
betul.
Tetapi, jika kedua-dua orang
pendamai tidak sependapat hakim, hendaklah menghantar dua orang pendamai yang
lain sehingga mereka mendapat kata sepakat.
Jika suami isteri tidak
bersetuju dengan perlantikan pendamai dan tidak mencapai kata sepakat, hakim
hendaklah menghukum suami dan isteri yang berlaku zalim dan memberikan hak
kepada yang teraniaya dengan memakai keterangan kedua-dua pendamai.
Hal ini berdasarkan firman
Allah swt:
وَإنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَاْبْعَثُواْ حَكَمًا
مِّنْ أَهْلِهِ وَحَكَمًا مِّنْ أَهْلِهَآ
إِن يُرِيدَآ إِصْلحًا يُوَفِّقِ اْللَّهُ بَيْنَهُمَآ إِنَّ أْللَّهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرًا ,
Maksudnya: "Dan jika kamu
khuatirkan ada persengketaan antara
keduannya, maka kirimkanlah seorang hakam dari keluarga laki-laki dan sorang
hakam dari keluarga perempuan, jika kedua orang hakam itu bermaksud mengadakan
perbaikan, nescaya Allah memberi taufik kepada suami-isteri itu. Sesungguhnya
Allah Maha Mengetahui lagi amat dalam pengetahuan-Nya." [5]
7.0 ANALISA PERUNTUKAN PENSABITAN NUSYUZ ISTERI DALAM ENAKMEN KELUARGA
ISLAM PERAK 2004
7.1 Peruntukan Berkaitan Nusyuz dalam Enakmen Keluarga Islam Perak 2004
Melalui penelitian terhadap
Enakmen Keluarga Islam Perak 2004, penulis mendapati bahawa nusyuz hanya
disebut dalam bahagian , iaitu Nafkah
Isteri , Anak dan Lain-lain dibawah perkara Kuasa Mahkamah untuk Memerintahkan
Nafkah bagi Isteri dan Kesan Nusyuz,
iaitu seksyen 60 (2) dan 60 (3). Kandungan kedua-dua seksyen tersebut adalah
seperti berikut :
60 (2) Tertakluk kepada Hukum
Syarak dan pengesahan Mahkamah, seseorang isteri tidaklah berhak mendapat
nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan
atau perintah sah suaminya, iaitu antara lain :
a) Apabila dia menjauhkan dirinya daripada
suaminya.
b) Apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya, atau
c) Apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke suatu rumah atau tempat lain, tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut
Hukum Syarak
(3) Selepas sahaja isteri itu
bertaubat dan menurut kemahuan dan perintah sah suaminya, maka isteri itu
tidaklah lagi menjadi nusyuz.
Daripada peruntukan ini,
penulis dapat membuat rumusan bahawa persoalan nusyuz tidak disebut secara
berasingan melalui suatu peruntukan yang khusus dalam Enakmen Keluarga Islam
Perak 2004. Sebaliknya , persoalan nusyuz hanya disebut di bawah perkara
berkaitan nafkah. Oleh yang demikian, penulis bersetuju bahawa wujud kekaburan
dan kesamaran pada peruntukan ini untuk tujuan pensabitan nusyuz isteri sebagaimana yang dinyatakan oleh Razali Haji
Nawawi (1998) dan Musa Awang (2004).
Jika dibuat perbandingan,
kesemua perbuatan yang disenaraikan oleh para fuqaha. Ini menunjukkan bahawa
penentuan perbuatan-perbuatan isteri yang boleh disabitkan sebagai nusyuz
isteri dalam Enakmen Keluarga Islam Perak 2004 adalah selari dengan pendapat
para fuqaha. Menurut Tuan Mohd Esham bin Abdul Samad, Hakim Syarie Mahkamah
Rendah Syariah Ipoh, di samping peruntukan dalam enakmen serta pandangan
fuqaha, pihak hakim akan menggunakan budi bicara yang berlandaskan rujukan
hukum syarak dalam mentafsirkan perbuatan-perbuatan lain yang boleh dikira
sebagai nusyuz.
7.2 Tatacara Pensabitan Nusyuz
Untuk membawa kes nusyuz
isteri ke muka pengadilan, terdapat dua langkah yang boleh diambil oleh pihak
suami, iaitu sama ada terus membuat tuntutan di Mahkamah Syariah atau pun
membuat dakwaan melalui Bahagian Pendakwaan Jabatan Agama Islam. Tuntutan
nusyuz yang dibuat terus di Mahkamah Syariah
akan membawa implikasi isteri hanya akan dinafikan hak nafkahnya sahaja
jika sabit nusyuz, manakala dakwaan nusyuz yang dibuat melalui Bahagian
Pendakwaan Jabatan Agama Islam akan membawa implikasi isteri turut dikenakan
denda jika sabit nusyuz.
Bagi memulakan prosiding
nusyuz ini pula, suatu saman perlu dikemukakan oleh plaintif kepada pihak
defenden. Prosiding berkaitan nusyuz ini perlu melalui saman dan bukannya melalui
permohonan kerana Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Perak 2004 telah
menetapkan sedemikian.
Dengan merujuk kandungan
seksyen 63 hingga 67 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Perak 2004 ini,
dapatlah disimpulkan bahawa dalam konteks kes nusyuz, beberapa tindakan perlu
dilaksanakan oleh pihak plaintif dan defendan sebelum pihak mahkamah
mengisytiharkan atau mensabitkan seseorang isteri telah nusyuz sekaligus
menggugurkan hak nafkahnya.
Tindakan-tindakan tersebut
secara umumnya apabila seseorang suami itu ingin membuat tuntutan sabitan
nusyuz ke atas isterinya, pihak suami perlu menfailkan pernyataan tuntutan
kepada mahkamah. Dalam tuntutan tersebut, pihak suami selaku plaintif perlu
menyatakan fakta-fakta yang dijadikan sandaran dan yang menunjukkan kuasa
tindakannya termasuk butiran-butiran tertentu yang menyokong dakwaan plaintif.
Selain itu, dalam tuntutan itu juga pihak suami perlu memasukkan suatu
pernyataan tentang relief yang dituntut, iaitu memohon mahkamah mensabitkan
nusyuz ke atas isterinya berdasarkan peruntukan yang berkaitan dalam Enakmen
Keluarga Islam Perak 2004.
Apabila pihak mahkamah telah
mendaftarkan kes tersebut, pihak mahkamah akan memanggil kedua-dua pihak, iaitu
suami dan isteri untuk mendengar keterangan kedua-dua pihak. Sekiranya pihak
isteri mengakui dan tidak membuat sebarang penafian terhadap segala yang
terkandung dalam tuntutan yang dibuat oleh suaminya dan mahkamah berpuas hati
dengan fakta-fakta serta bukti-bukti yang menyokong tuntutan suami, maka
mahkamah akan mensabitkan nusyuz ke atas isteri tersebut berdasarkan seksyen
60(2) Enakmen Keluarga Islam Perak 2004.
Namun, jika isteri selaku
defendan itu mempertikai atau tidak bersetuju dengan sebahagian atau
keseluruhan kandungan tuntutan yang dibuat oleh pihak suaminya, maka pihak
isteri boleh menfailkan prnyataan pembelaan. Dalam pembelaan tersebut, pihak
isteri perlu memasukkan pernyataan yang mengaku atau menafikan setiap fakta dan
butiran yang terkandung dalam pernyataan tuntutan pihak suami. Pihak isteri
juga perlu menyatakan fakta-fakta baru yang dijadikan sandaran olehnya sebagai
pembelaan. Bagi menguatkan pembelaan tersebut, pihak isteri perlu membangkitkan
apa-apa perkara perundangan yang berkaitan.
Selain pembelaan, pihak
mahkamah juga memberi peluang kepada pihak isteri untuk mengemukakan tuntutan
balas jika ada, bersama-sama dengan pembelaannya itu. Daripada segi bentuk
kandungan tuntutan balas, ia adalah sama seperti pernyataan tuntutan.
Setelah pihak isteri
menfailkan pembelaannya dan tuntutan balas sekiranya ada, mahkamah boleh (atas
alasan yang mencukupi) memberi kebenaran kepada pihak plaintif untuk menfailkan
suatu jawapan kepada pembelaan, sama ada pembelaan itu merupakan pembelaan
terhadap sesuatu tuntutan atau terhadap sesuatu tuntutan balas.
Apabila kesemua proses ini
telah dilalui, mahkamah akan meneliti sedalam-dalamnya segala keterangan, bukti
dan buktiran fakta yang ada. Setelah berpuas hati dan tiada sebarang keraguan
yang boleh dipertikaikan, maka keputusan untuk mensabitkan nusyuz ke atas seseorang
isteri itu pun dibuat.
Bagi tuntutan sabitan nusyuz
yang difailkan dengan alas an isteri meninggalkan rumah tanpa izin atau isteri
enggan mentaati suami, pihak mahkamah terlebih dahulu akan mengeluarkan
perintah kembali taat dalam sesuatu tempoh masa yang sesuai kepada pihak
isteri. Jika tempoh masa yang diberikan oleh pihak mahkamah telah berakhir
tetapi pihak isteri masih tidak menuruti perintah mahkamah itu, maka barulah
mahkamah mengisytiharkan atau mensabitkan isteri itu nusyuz.
Sebenarnya berdasarkan Enakmen
Keluarga Islam Perak 2004, perintah untuk isteri kembali taat kepada suami
tidak diperuntukkan. Walau bagaimanapun, dari segi amalan di Mahkamah Rendah
Syariah Ipoh Perak, kebiasaannya hakim akan menggunakan budi bicaranya dengan
mengeluarkan perintah kembali taat kepada pihak isteri terlebih dahulu sebelum
keputusan pengisytiharaan nusyuz dibuat.
8.0 ANALISA PENGHAKIMAN KES-KES NUSYUZ ISTERI OLEH MAHKAMAH RENDAH
SYARIAH IPOH PERAK
8.1 Kes Jaafar bin Md. Amin lwn. Zarina binti Mahayuddin
(No. Kes: 08001/058/0621/2005)
Fakta Kes
Plaintif dan defendan bernikah
pada 19 Mac 1994 dan mempunyai tiga orang cahaya mata. Dalam pernyataan
tuntutan, plaintif menyatakan bahawa defendan
telah meninggalkan rumah kelamin dan balik ke rumah keluarganya pada 30
September 2005 tanpa pengetahuan plaintif. Defendan ada menghubungi plaintif
memaklumkan akan kembali ke rumah pada 2 Oktober 2005. Namun, pada tarikh
tersebut defendan menghubungi plaintif dan memaklumkan bahawa defendan tidak
akan pulang ke rumah. Sebaliknya, defendan akan terus tinggal di rumah
keluarganya. Pada 5 Oktober 2005, plaintif telah dihubungi oleh Pejabat Agama
Islam Batu Gajah, Perak yang meminta plaintif hadir ke pejabat tersebut pada 7
Oktober 2005 untuk sesi kaunseling.
Plaintif menyatakan bahawa
sepanjang perkahwinan, plaintif dan defendan tidak pernah bergaduh. Masalah
rumah tangga mereka hanya bermula apabila defendan meninggalkan rumah pada 30
September 2005 dengan membawa bersama anak-anak ke kampong tanpa izin plaintif.
Oleh yang demikian, plaintif telah memohon kepada mahkamah agar defendan
diisytiharkan nusyuz di bawah seksyen 60 (2) Enakmen Keluarga Islam Perak 2004.
Plaintif juga telah memohon kepada mahkamah suatu perintah agar defendan baik
dan taat kepada plaintif.
Apabila pihak mahkamah
memanggil pihak-pihak yang bertelingkah untuk mendengar sebutan, mahkamah
dimaklumkan bahawa pihak defendan, iaitu isteri telah terlebih dahulu
menfailkan tuntutan penceraian takhlik (N0. Kes: 08001/057/0615/2005) dua hari
sebelum plaintif, iaiatu suami menfailkan tuntutan sabitan nusyuz. Oleh yang
demikian, mahkamah memutuskan untuk mendengar kes tuntutan sabitan nusyuz
bersekali dengan tuntutan penceraian takhlik.
Dalam pernyataan tuntutan
penceraian taklik, plaintif iaitu isteri telah menyatakan bahawa pada 30
september 2005 plaintif balik ke rumah ibu bapanya kerana telah membuat
keputusan untuk berpisah dengan defendan, iaitu suaminya kerana defendan
merupakan seorang penagih dadah. Sepanjang perkahwinan, plaintif telah banyak
bersabar dengan perlakuan keji defendan itu. Plaintif menyatakan bahawa
defendan menjadikan rumah kelamin mereka sebagai tempat menghisap dadah bersama
abang defendan. Ada kalanya, defendan menghisap dadah di depan anak-anak.
Defendan juga tidak memberi nafkah yang mencukupi serta pernah memaksa plaintif
meminjam wang daripada ahli keluarga dan jiran-jiran.
Semasa akad nikah dahulu,
plaintif menyatakan bahawa defendan ada melafazkan cerai taklik. Oleh yang
demikian, plaintif memohon kepada mahkamah agar mensabitkan lafaz cerai taklik
tersebut mengikut seksyen 50 Enakmen Keluarga Islam Perak 2004.
Penghakiman
Semasa perbicaraan, pihak
plaintif dan defendan telah mencapai suatu persetujuan, iaitu defendan selaku
suami bersetuju menceraikan plaintif dan defendan juga bersetuju untuk menarik
balik tuntutan sabitan sabitan nusyuz terhadap plaintif. Olleh yang demikian,
mahkamah memutuskan untuk mengesahkan perceraian tersebut mengikut seksyen 47
Enakmen Keluarga Islam Perak 2004.
Analisa
Berdasarkan kes ini, penulis
mendapati bahawa terdapat pertembungan dua tuntutan yang dibuat oleh pihak
suami dan isteri, iaitu tuntutan sabitan nusyuz ke atas isteri dan tuntutan
pengesahan perceraian taklik. Memandangkan kedua-dua tuntutan ini melibatkan
pihak-pihak yang sama, serta keterangan-keterangan dalam kedua-dua tuntutan ini
berkisar perkara-perkara yang hampir sama, maka mahkamah memutuskan untuk
mendengar kedua-dua kes ini secara bersekali.
Walaupun tiada peraturan yang
menetapkan dua kes didengar secara bersekali, namun demi mempercepatkan
penyelesaian pengendalian kes dan pihak-pihak yang bertelingkah akan mendapat
hak masing-masing tanpa melalui tempoh perbicaraan yang panjang, maka pihak
hakim telah menggunakan budi bicaranya untuk mendengar secara bersekali
kedua-dua tuntutan tersebut.
Di samping itu, tindakan
mahkamah mendengar dua kes ini secara bersekali adalah sebagai memenuhi
kehendak Arahan Amalan berkaitan kes nusyuz yang menyatakan bahawa kes nusyuz
hendaklah didengar dalam kes induk dan tidak perlu dibuat berasingan.
Merujuk kepada tuntutan suami
untuk mensabitkan isterinya nusyuz, alasan isteri keluar rumah tanpa izin
adalah diterima oleh hukum syarak berdasarkan pandangan fuqaha dan juga ada
dalam peruntukan Enakmen Keluarga Islam Perak 2004.
Walau bagaimanapun, setelah
meneliti kandungan tuntutan pengesahan perceraian yang dibuat oleh isteri,
didapati pihak isteri mempunyai alasan yang boleh diterima oleh syarak untuk
keluar dari rumah kelamin tanpa izin, iaitu suami seorang penagih dadah dan
berperangai buruk dengan menghisap dadah di depan anak-anak. Tindakan isteri
ini dilihat bertujuan melindungi emosi dan psikologi anak-anak serta dirinya
sendiri yang dipaksa oleh suami untuk berhutang dengan ahli keluarga dan jiran,
Tindakan suami yang tidak menfailkan pembelaan terhadap tuntutan pihak isteri
pula menampakkan bahawa suami memang berada di pihak yang salah.
Keputusan piihak mahkamah
membenarkan persetujuan plaintif dan defendan untuk bercerai dan menarik balik
tuntutan sabitan nusyuz ke atas isteri adalah langkah terbaik demi menjaga
kemaslahatan kedua-dua pihak dan selari dengan roh syariat Islam.
8.2 Kes Kasim bin Abdul Ghani lwn. Juhana binti Tajudin
(No. Kes: 080001/058/499/2006)
Fakta Kes
Plaintif dan defendan bernikah
pada 26 Ogos 1988 dan mempunyai seorang anak. Dalam pernyataan tuntutan,
plaintif menyatakan bahawa pada 25 Julai 2006 defendan telah lari dari rumah
dan sehingga kini defendan tidak dapat dikesan. Defendan pernah menghubungi
plaintif melalui telefon dan kesempatan ini digunakan oleh plaintif untuk
memujuk defendan agar pulang tetapi defendan enggan. Oleh yang demikian,
plaintif telah memohon kepada mahkamah suatu perintah agar defendan balik dan
kembali taat. Jika defendan enggan, plaintif mohon mahkamah mengisytiharkan
defendan nusyuz mengikut seksyen 60 (2) Enakmen Keluarga Islam Perak 2004.
Penghakiman
Setelah meneliiti kes ini,
mahakamah membenarkan permohonan plaintif, iaitu defendan diperintahkan untuk
kembali taat kepada plaintif dalam tempoh 14 hari dari tarikh perintah itu
dikeluarkan dan jika tempoh tersebut telah tamat, defendan diisytiharkan nusyuz
seperti mana dibenarkan mengikut seksyen 60 (2) Enakmen Keluarga Islam Perak
2004. Memandangkan sepanjang kes ini dikendalikan defendan tidak pernah hadir
dan laporan penyampaian saman juga menunjukkan bahawa saman tidak dapat
disampaikan kepada defendan, maka mahkamah mengarahkan agar penyampaian
perintah ini dibuat di akhbar tempatan.
Analisa
Berdasarkan penelitian
terhadap kes ini, penulis mendapati bahawa alasan yang dikemukakan oleh
plaintif agar mahkamah mensabitkan defendan sebagai nusyuz adalah sama dengan
kes-kes yang lain, iaitu keluar rumah tanpa izin. Sungguhpun begitu, penulis
mendapati kes ini agak ringkas berbanding kes-kes nusyuz lain yang dikaji oleh
penulis kerana pihak defendan tidak dapat dikesan oleh plaintif sehingga kes
ini difailkan di mahkamah. Sepanjang perbicaraan di mahkamah pula, defendan
tidak pernah menghadirkan diri. Laporan penyampaian saman juga menunjukkan
bahawa saman tidak dapat dieserahkan kepada defendan. Oleh yang demikian, tiada
sebarang pembelaan difailkan oleh pihak defendan.
Dalam menghakimi kes sebegini,
didapati bahawa pihak mahkamah telah bertindak berlandaskan garis panduan yang
telah ditetapkan dalam Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Perak 2004, iaitu
sekiranya saman yang dikeluarkan itu tidak dapat disampaikan kepada pihak
defendan secara biasa, maka penyampaian boleh dibuat dalam mana-mana akhbar
tempatan. Perkara ini ada dinyatakan dalam seksyen 48 (2) Enakmen Tatacara Mal
Mahkamah Syariah Perak 2004.
Setelah tempoh masa yang
diberikan untuk defendan mematuhi perintah yang dikeluarkan itu berakhir dan
defendan masih belum dapat dikesan serta tiada sebarang tindakan diambil oleh
pihak defendan, maka mahkamah telah membuat pengisytiharan nusyuz.
Pengisytiharan ini dibuat setelah mahkamah mengarahkan plaintif mengangkat
sumpah istizhar. Perkara ini pula dinyatakan dalam seksyen 121 (1) (b) dan seksyen
121 (2) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Perak 2004.
Dalam persoalan sumpah
istizhar ini, Wahbah al-Zuhayliyy (1985) telah mendatangkan pandangan
keempat-empat mazhab. Secara ringkasnya, menurut mazhab Malikiyy, sumpah ini
dibuat untuk kes nafkah isteri, dakwaan ke atas orang yang ghaib, anak yatim,
wakaf, tempat-tempat tinggal, setiap perkara kebajikan, baitul mal, haiwan dan
sebagainya. Mazhab Hanafiyy pula menyenaraikan beberapa keadaan yang diwajibkan
ke atas pihak yang mendakwa untuk bersumpah istizhar , iaitu termasuklah dalam
kes nafkah isteri bagi suami yang ghaib. Pada pandangan mazhab Shafi’iyy pula,
sumpah istizhar dikenakan walaupun tidak diminta oleh pihak yang terlibat dalam
pertikaian, jika ia melibatkan kes dakwaan ke atas orang yang mati, orang yang
ghaib, kanak-kanak kecil, orang yang ditahan (mahjur), orang bodoh (safih),
orang gila, orang yang kurang akal dan dalam kes yang dibuktikan melalui saksi
dan sumpah. Walau bagaimanapun bagi mazhab Hanbaliyy pula, sumpah istizhar ini
dikenakan sekiranya terdapat keterangan ke atas orang yang ghaib, orang yang
bersembunyi, orang yang sudah mati, anak kecil atau orang gila.
Daripada pandangan-pandangan ini, dapatlah
dirumuskan bahawa sekiranya pihak yang didakwa tidak hadir atau tidak dapat dikesan
(ghaib) semasa proses perbicaraan dijalankan, maka sesuatu kes itu boleh
diputuskan secara sebelah pihak dengan syarat pihak yang mendakwa dikehendaki
untuk bersumpah istizhar.
Dengan ini, jelaslah bahawa
dalam kes Kasim bin Abdul Ghani lwn. Juhana binti Tajudin, pihak hakim telah
membuat keputusan yang menepati peruntukan dalam enakmen serta pandangan syarak.
8.3 Kes Fauzy Omar Basheer bin
Othman lwn. Sarah Nur binti Shamsuddin
(No. Kes: 08001/058/0483/2007)
Fakta Kes
Plaintif dan defendan bernikah
pada 2 Ogos 2002 dan dikurniakan seorang anak. Plaintif merupakan seorang
Jurutera Petronas dan dihantar bertugas di Austria pada Januari 2006. Plaintif
pergi ke sana bersama defendan dan anak mereka. Menurut pernyataan tuntutan
plaintif, pada Jun 2006 defendan pulang ke Malaysia bersama anak mereka kerana
defendan akan memulakan tugas sebagai doktor. Walaupun plaintif tidak bersetuju
dan defendan sendiri keberatan untuk pulang ke Malaysia, namun atas desakan
keluarga defendan tindakan itu diambil juga. Situasi kehidupan mereka yang
tinggal berjauhan ini menyebabkan plaintif membuat keputusan untuk pulang ke
Malaysia setiap lapan minggu sekali dan setiap kali pulang, plaintif akan
berada selama dua minggu untuk bersama-sama dengan defendan dan anak mereka.
Selepas beberapa lama plaintif
dan defendan tinggal berjauhan, plaintif mendapat tahu bahawa defendan ada
membuat hubungan dengan lelaki lain yang juga merupakan seorang doktor di
hospital tempat defendan bertugas. Apabila diminta penjelasan oleh plaintif,
defendan mengakui akan perkara tersebut.
Dalam pernyataan tuntutan itu
juga, plaintif memaklumkan bahawa plaintif dan defendan pernah mendapat khidmat
kaunseling di Pejabat Agama Islam Kuala Kangsar dan hasilnya defendan berjanji
tidak akan mengulangi perbuatannya itu. Walau bagaimanapun, defendan telah
memungkiri janjinya itu apabila masih meneruskan hubungan dengan doktor lelaki
tersebut. Oleh yang demikian, plaintif telah memohon kepada mahkamah agar
mensabitkan nusyuz ke atas defendan seperti yang dibenarkan mengikut seksyen 60
(2) Enakmen Keluarga Islam Perak 2004.
Bagi pihak defendan pula,
setelah menerima pernyataan tuntutan daripada plaintif, defendan memahaminya
dan tifak bercadang untuk menfailkan pembelaan. Defendan memahami akan kesan
dan akibat apabila disabitkan nusyuz ke atasnya.
Penghakiman
Apabila tiada pembelaan yang
dibuat oleh pihak defendan terhadap tuntutan plaintif, maka mahkamah telah
mensabitkan nusyuz ke atas defendan mengikut seksyen 60 (2) Enakmen Keluarga
Islam Perak 2004. Ekoran daripada pensabitan ini, mahkamah memutuskan hak
nafkah dan tanggungjawab plaintif terhadap defendan gugur.
Analisa
Kes ini telah menunjukkan
berlakunya pensabitan nusyuz ke atas isteri apabila mahkamah berpuas hati
dengan pernyataan tuntutan suami dan
tiada pernyataan pembelaan yang difailkan oleh isteri. Ini menunjukkan bahawa
tuduhan suami tentang perbuatan nusyuz isterinya adalah benar sekaligus
membolehkan mahkamah membuat sabitan nusyuz terhadap isteri sebagaimana yang
diperuntukkan dalam seksyen 60 (2) Enakmen Keluarga Islam Perak 2004.
Dalam memutuskan keputusan
pensabitan nusyuz ke atas isteri ini, asas yang dijadikan sandaran oleh hakim
ialah reaksi defendan atau isteri tersebut yang tidak mempertikai atau
membantah keseluruhan mahupun sebahagian tuntutan plaintif. Bahkan isteri
terbabit mengaku (iqrar) akan perbuatan nusyuznya serta memahami kesan daripada
pengisytiharan nusyuz kepada dirinya yang bakal dikeluarkan oleh mahkamah.
Apabila pihak isteri tidak
menfailkan pembelaan atau mempertikai tuntutan suami seperti yang ditetapkan
dalam tatacara ini, bahkan wujud pula pengakuan akan perbuatan nusyuz oleh
pihak isteri, maka hal ini menjadi asas kepada mahkamah untuk mensabitkan
nusyuz ke atas isteri.
8.4 Kes Syed Dany Faizal bin Said Md Nasir lwn. Wan Suhana binti Mior
Ahmad Sabri
(No. Kes: 08001/058/0354/2008)
Fakta Kes
Plaintif dan defendan bernikah
pada 1 Mei 2004 dan dikurniakan dua orang cahaya mata. Dalam pernyataan
tuntutan, plaintif menyatakan bahawa pad 5 Mei 2008, dia telah memujuk defendan
yang ketika itu berada di rumah keluarganya untuk kembali ke pangkuannya. Walau
bagaimanapun, defendan enggan dan keluarga defendan pula menghalang plaintif
untuk membawa defendan pulang. Oleh yang demikian, plaintif telah memohon kepada
mahkamah suatu perintah agar defendan balik dan taat semula atau
mengisytiharkan defendan nusyuz seperti yang dibenarkan mengikut seksyen 60 (2)
Enakmen Keluarga Islam Perak 2004.
Setelah menerima pernyataan
tuntutan, defendan telah menfailkan pernyataan pembelaan dengan menyatakan
bahawa pada 5 Mei 2008 plaintif masih dalam tahanan reman polis. Oleh itu,
defendan menafikan ada menerima sebarang panggilan telefon atau berkomunikasi
dengan plaintif pada tarikh tersebut. Defendan juga dalam pembelaannya bahawa
sepanjang empat tahun perkahwinan mereka, plaintif sering mengamuk tanpa sebab.
Defendan sering dipukul, disepak dan diterajang. Defendan pernah tumpah darah
ketika mengandung akibat tindakan-tindakan ganas plaintif. Defendan juga
menyatakan bahawa plaintif terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Setelah menerima pernyataan
pembelaan, plaintif menfailkan pula penyataan tuntutan terpinda dengan
menyatakan bahawa sepanjang perkahwinan dengan defendan, rumah tangga mereka
tidak pernah aman kerana keluarga defendan sering masuk campur dan menghasut
defendan apabila berlaku perselisihan di anatara plaintif dan defendan.
Plaintif menyatakan bahawa ibu bapa defendan sering berusaha untuk memisahkan
defendan dengan plaintif. Plaintif menyatakan bahawa dia telah memberi keizinan
kepada defendan untuk berpantang di rumah ibu bapa defendan sehingga selesai
tempoh berpantang atau sehingga benar-benar sihat akibat bersalin. Namun,
apabila habis berpantang dan defendan telah benar-benar sihat, defendan enggan
balik ke rumah tanpa alasan yang munasabah.
Plaintif pernah beberapa kali
mmemujuk defendan untuk kembali tetapi defendan tetap enggan. Plaintif percaya
bahawa keputusan defendan itu adalah akibat hasutan ibu bapa defendan. Menurut
plaintif juga, ibu bapa defendan pernah meminta agar plaintif melepaskan
defendan tetapi plaintif enggan kerana masih menyayangi defendan. Pada 30 April
2008, plaintif menyatakan bahawa berlaku pertengkaran mulut dengan defendan.
Kemudian, defendan telah menghubungi bapanya dan tidak lama selepas itu, bapa
defendan dating bersam polis. Plaintif telah dibawaa ke Balai Polis untuk
disoal siasat. Pada masa yang sama, bapa defendan membawa defendan dan
anak-anak balik ke rumah keluarga defendan. Pada 5 Mei 2008, plaintif telah
dibebaskan dengan jaminan polis dan plaintif telah menghubungi defendan untuk
memujuknya pulang ke rumah tetapi defendan enggan.
Setelah menerima pernyataan
tuntutan terpinda ini, defendan sekali lagi menfailkan pernyataan pembelaan dan
tuntutan balas terpinda. Dalam pembelaan itu, defendan menyatakan bahawa tujuan
dia mengikut bapanya pulang ke rumah keluarganya adalah untuk menyelamatkan
diri kerana plaintif merupakan seorang yang panas baran dan sering bertindak
ganas terhadap defendan. Menurut defendan, plaintif sudah tidak bekerja sebagai
guru kerana telah ditamatkan perkhidmatan. Menurut defendan juga, perkahwinan
mereka direstui oleh keluarga defendan dan defendan hairan mengapa plaintif
mendakwa perkahwinan mereka tidak direstui.
Di samping membuat pernyataan
pembelaan terpinda, defendan juga membuat tuntutan balas iaitu defendan ingin
menuntut fasakh atas sebab-sebab berikut, iaitu plaintif sering mengamuk dan
memukul defendan tanpa sebab, plaintif terlibat denga penyalahgunaan dadah,
plaintif mengabaikan tanggungjawab sebagai pendidik kerana sering tidak hadir
ke sekolah, plaintif tidak pernah bersembahyang dan brerpuasa, plaintif tidak
memberi nafkah yang cukup kerana wang gaji digunakan untuk membeli dadah dan
plaintif tidak pernah terlibat dengan kes jenayah, iaitu melanggar bapa
defendan dengan kereta sehingga patah tangan bapa defendan. Kes tersebut masih
dalam siasatan polis di bawah seksyen 325 Kanun Keseksaan. Oleh yang demikian,
defendan telah memohon kepada mahkamah agar meluluskan pembubaran perkahwinan
mereka di bawah seksyen 53 Enakmen Keluarga Islam Perak 2004.
Selepas itu, plaintif pula
memberi jawapan kepada tuntutan balas defendan dengan menafikan bahawa dia
telah ditamatkan perkhidmatan sebagai guru. Plaintif juga menyatakan bahawa
plaintif bukan seorang yang ganas, sebaliknya seorang pendiam melainkan jika
ada provokasi. Plaintif menyatakan bahawa bapa defendanlah yang sering
mengganggu plaintif di sekolah tempat plaintif bertugas dan hal ini memberi
tekanan kepada plaintif. Akibat tekanan, gangguan dan campur tangan daripada
pihak bapa defendan, plaintif telah mengalami Major Mental Depression dan
plaintif masih mendapatkan rawatan doctor pakar di Hospital Ipoh. Akibat
masalah tekanan ini, plaintif mengambil cuti tanpa gaji untuk memulihkan
keadaan diri.
Penghakiman
Setelah meneliti keterangan daripada kedua-dua
belah pihak dan atas persetujuan pihak suami dan pihak isteri untuk bercerai,
maka mahkamah telah membuat keputusan plaintif dan defendan bercerai di bawah
seksyen 47 Enakmen Keluarga Islam Perak 2004. Defendan juga bersetuju untuk
tidak membuat sebarang tuntutan nafkah sama ada nafkah idah, mutaah dan harta
sepencarian selepas perceraian ini. Hak penjagaan anak sulung diberi kepada
plaintif, manakala anak kedua diberikan kepada defendan.
Analisa
Berdasarkan kes ini, penulis
mendapati suami telah mengemukakan permohonan kepada mahkamah suatu perintah
agar isterinya balik dan taat semula atau mengisytiharkan isterinya nusyuz jika
isteri enggan mematuhi perintah itu. Alasan kepada permohonan suami ini ialah
isterinya telah keluar rumah tanpa izin dan enggan pulang walaupun setelah
dipujuk. Jika dirujuk pada seksyen 60 (2) Enakmen Keluarga Iskam Perak 2004,
permohonan ini adalah dibenarkan. Begitu juga menurut pandangan keempat-empat
mazhab utama, isteri yang keluar rumah tanpa izin boleh dikira sebagai nusyuz.
Sungguhpun begitu setelah
meneliti pembelaan isteri, penulis mendapati tindakan isteri keluar rumah tanpa
izin suami adalah bertujuan untuk menyelamatkan diri daripada tindakan-tindakan
suami yang mendatangkan kecederaan fizikal terhadapnya. Apabila dirujuk kepada
pandangan fuqaha, alasan ini dikira munasabah dan isteri tidak boleh disabitkan
nusyuz atas tindakannya itu. Walaupun dalam tuntutan balas isteri ada memohon
kepada mahkamah agar membubarkan perkahwinan mereka berdasarkan peruntukan
dalam seksyen 53 Enakmen Keluarga Islam Perak 2004 tetapi setelah melalui
proses perbicaraan, suami dan isteri masing-masing bersetuju untuk bercerai
secara biasa. Oleh yang demikian, mahkamah membuat keputusan plaintif dan
bercerai mengikut seksyen 47 Enakmen Keluarga Islam Perak 2004. Walaupun isteri
tidak disabitkan nusyuz dalam kes ini, isteri tersebut bersetuju untuk tidak
menuntu sebarang nafkah, mutaah dan harta sepencarian selepas perceraian
tersebut.
9.0 Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, bolehlah
dikatakan bahawa walaupun diakui yang kelakuan nusyuz oleh pihak isteri
melucutkan haknya untuk mendapat nafkah selagi dia nusyuz, beberapa hujah boleh
dikemukakan mengenai masalah untuk menentukan perbuatan apakah yang menjadi
nusyuz dan perbuatan yang tidak patut dikira sebagai nusyuz oleh pihak isteri.
Istilah nusyuz pada kebiasaannya digunakan sebagai bererti oleh pihak isteri,
akan tetapi patutlah diingat bahawa ayat al-Quran juga menggunakan istilah
nusyuz bagi merangkumi perbuatan nusyuz oleh pihak suami juga.
Seterusnya, Mahkamah Rendah
Syariah Ipoh Perak didapati telah mengendalikan kes tuntutan nusyuz isteri
dengan adil dan menepati fiqh Islam walaupun terdapat sedikit kelompangan
peruntukan yang tidak mengkhususkan sabitan nusyuz dalam Enakmen Keluarga Islam
Perak 2004. Namun, selaku badan pentafsir undang-undang, pihak hakim telah
menggunakan kuasanya untuk mentafsir sekdyen 60 (2) enakmen berkenaan sebagai
sandaran yang digunakan untuk mengendalikan kes tuntutan sabitan nusyuz.
Melihat kepada kekurangan ini, suatu peruntukan yang khusus berkaitan sabitan
nusyuz perlu dimasukkan dalam enakmen agar pengendalian kes tersebut menjadi
lebih lancar dan wujud keseragaman pentafsiran di antara seorang hakim dengan
hakim yang lain.
Rujukan
1)Al-Quran
al-Karim.
2)al-Ashqar,
Muhammad ibn Sulaymān ibn ‘Abdullah. (1998). Al-Mujalla Fī alFiqh al-Hanbaliyy.
Damsyik: Dār al-Qalām. Jil.1.
3)al-Kasāniyy,
‘Ala’ al-Dīn Abī Bakr. (1997). Badā’i al-Sanāi’ Fī Tartīb al-Sharāi’, Tahqīq:
Mu’awwid, Muhammad ‘Aliyy & ‘Abd al-Mawjūd, ‘Ādil Ahmad. Beirut: Dār
al-Kutub al-‘Ilmiyyah. Jil. 3.
4)al-Khīn,
Mustafā, & al-Bughā, Mustafā. (1998). al-Fiqh al-Manhajiyy ‘Ala Madhhab
al-Imām al-Shāfi’iyy. Beirut: Dār al-Shāmiyyah. Jil.2
5)‘Alīsh,
Muhammad.(1989). Sharhu Manhi al-Jalīl ‘Ala Mukhtasar al-‘Allāmah Khalīl.
Beirut: Dār al-Fikr. Jil. 3.
6)Raihanah
Hj. Azahari. (2007). Permasalahan Rumah tangga: Kajian di Unit Undang-undang
Keluarga Jabatan Agama Islam Daerah Petaling, Selangor. Jurnal Syariah, 15(1),
7)Kursus
dan Bimbingan Perkahwinan, Ustaz Abdul Aziz, Darul Nu’man .
8)Panduan
Fiqh Munakahat, Yazid Haji Maarof dan Mohammad Kamil Ab Majid 2015.
9)Pendidikan
Islam Tingkatan 5, Percetakan Zainun Qasim Sendirian Berhad.
10)Dosa-dosa
Isteri Yang Paling Dibenci Allah s.w.t, Masykur Arif Rahman, Al-Hidayah House
Of Publishers Sdn. Bhd.
11)Al-Fiqh
Al-Manhaj; Kekeluargaan Islam Dalam Fiqh Al-Syafi’I, Dr. Zulkifli Mohamad
Al-Bakri, Darul Syakir Enterprise.
12)Fiqh
Islam Mazhab Syafie, Dr. Mustafa Dieb Al- Bigha, Al-Hidayah Publication.
-----------------------------------------------------
[1]
Panduan Mudah Fiqh Wanita, Muhammad Mutawalli Sya’rawi, m/s 209.
[2]
Fiqh Islam Mazhab Syafie, Dr. Mustafa Dieb Al-Bigha, m/s 213-214.
[3]
Pendidikan Syariah Islamiyyah Tingkatan 5, Mohd Shah bin Ujang, m/s 242.
[4]
Riwayat al-Tarmizi (1161) dan Ibn Majah (1854).
[5](
Surah al-Nisa’: 35)
No comments:
Post a Comment