Kita harus rela hati lagi suci dan bersyukur dengan
setiap pemberian Allah s.w.t, sama ada
berupa tubuh badan, kehidupan, harta, anak, tempat tinggal atau bakat
kemampuan.
Mari kita lihat makna yang tersirat dari ayat Al-Quran,
surah Al-A'raf ayat 144:
"Allah berfirman: Wahai Musa! Sesungguhnya Aku
memilihmu melebihi umat manusia (yang ada pada zamanmu), dengan membawa
perutusanKu (Kitab Taurat) dan dengan KalamKu; oleh itu, terimalah apa yang Aku
kurniakan kepadamu, dan jadikanlah dirimu dari orang-orang yang
bersyukur."
Sebahagian besar ulama salafus saleh dan generasi awal
umat Islam adalah terdiri daripada golongan fakir miskin. Mereka tidak memiliki
harta yang banyak, rumah yang indah, kenderaan yang baik dan juga pegawai
peribadi. Namun mereka ternyata mampu membuat kehidupan ini lebih bermakna dan
menjadikan diri mereka serta masyarakat lebih bahagia, kerana mereka sentiasa
memanfaatkan setiap pemberian Allah s.w.t. di jalan yang benar. Menjadikan
umur, waktu, tenaga, kemampuan dan ketrampilan mereka menjadi penuh barakah.
Sebaliknya terdapat sekelompok manusia yang telah Allah
s.w.t kurniakan dengan berbagai jenis kenikmatan tetapi diri mereka sentiasa
merasa penuh dengan penderitaan, kecemasan dan kegelisahan sehingga ada yang membunuh diri, menembak diri,
mengantung diri dan mati dalam kemurungan.
Lihatlah berapa ramai sarjana atau doktor yang tidak
dapat memberikan pandangan, pemikiran dan pengaruh menangani masalah
masyarakat, termasuklah menangani masalah ekonomi domestik dan antarabangsa
yang bersifat mikro dan makro kerana di sana ada dua persepsi secara tersirat
dan tersurat yang memerlukan dipimpin pemercuannya secara bijaksana dan
kebajikan merakyat. Bukan hanya mengklasifikasikan audiens kepada kelas-kelas
tertentu dan terpilih kerana motifnya monopoli dan manipulasi.
Namun sebaliknya, anda dengan ilmu dan kemampuan yang
sangat terbatas, mampu membina sungai
yang sentiasa memberi manfaat, kebaikan dan kemakmuran sesama manusia. Puncanya
kerana anda redha akan anugerah Allah s.w.t., menjadikan andalah orang terkaya
di dunia.
Allah s.w.t. memaparkanya melalui firmanNya:
"(Mengapa pemberian Kami itu mereka ingkarkan?)
Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan (perkara-perkara keruhanian dan
keugamaan yang menjadi sebesar-besar) rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad,
seolah-olah Kami hanya berkuasa dalam perkara kebendaan dan keduniaan sahaja?
Mereka tidak ingkarkan): Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala
keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan
kaya raya dan setengahnya miskin menderita); dan juga Kami telah menjadikan
darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya
itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan
kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain. Dan lagi rahmat Tuhanmu
(yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan
dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan." (Quran, surah
Az-Zukhruf: 32)
Semoga Ramadan ini sebagai penanda aras kejayaan anda
itu.
Selamat menunaikan salat dan meraikan Aidilfitri 1440H
"taqabbalallahu minna wa minkum." (Semoga Allah menerima amal ibadah kita).
No comments:
Post a Comment