Tuesday, June 18, 2019

NABI s.a.w. dialu-alukan menikahi anak-anak gadis kaum Quraisy


Setelah Nabi s.a.w. memasuki usianya menjangkau lebih 20 tahun beberapa individu yang rapat dengannya telah berkahwin, antaranya; pakcik-pakciknya, Abbas bin Abdul mutalib bernikah dengan Lubabah binti al-Harith dan Hamzah bin Abdul Mutalib bernikah dengan Salmah binti Umaiyah. Manakala sahabatnya, Abu Bakar bin Quhafah bernikah dengan Qutailah binti Abdul Uzza.

Para pembesar Bani Hasyim pasti akan berbangga sekiranya Nabi s.a.w. meminang salah seorang anak-anak gadis mereka kerana sifat al-Amin yang telah melebar di seluruh kabilah Quraisy pada dirinya.

Demikian juga sekiranya ia meminang salah seorang anak gadis Bani Umaiyah, pasti mereka akan menyambut baik pinangannya seperti mereka mengalu-alukan peminangan bapa saudaranya Abu Lahab bin Abdul Mutalib yang telah mengahwini Ummu Jamil, anak gadis Harb bin Umaiyah iaitu adik perempuan Abu Sufyan bin Harb.

Begitu pula Bani Asad tidak akan menolak kalau Nabi s.a.w. meminang anak-anak gadis mereka. Awwam bin Khuwailid telah berkahwin dengan emak saudaranya demi mengekalkan kemuliaannya. Waraqah bin Naufal sendiri mengagumi keperibadian Nabi s.a.w. yang terkenal dengan sikapnya yang menolak agama kaumnya dan sikap berpoya-poya mereka. Dia lebih suka menyendiri, merenung ciptaan Allah s.w.t. dan menghadapkan wajahnya ke langit.

Sekiranya Rasulullah s.a.w. mahu meminang anak-anak gadis Bani Taim, pasti Abu Bakar Quhafah akan menerima dengan gembira kerana Nabi s.a.w. adalah sahabat karibnya. Mereka pula tidak pernah berpisah. Abu Bakar amat kagum dengan kelembutan hati, sifat benar, amanah dan keberanianya mengeluarkan pendapat walaupun dalam usia muda. Apabila Nabi s.a.w. diminta bersumpah dengan nama al-Lata dan al-Uzza di Baitullah atau pasar-pasar, dia akan menjawab bahawa aku sekali-kali tidak akan bersumpah dengan kedua-dua berhala itu selama-lamanya.

Rasulullah s.a.w. jujur dalam fahaman ketauhidannya, jujur dalam perniagaannya, jujur dalam pemberiannya, jujur dalam kata-katanya, jujur dalam uzlahnya, jujur dalam hubungan kekeluargaan dan jujur dengan diri sendiri. Amanah adalah hiasaan dirinya.  Maka tidak menghairankan kenapa Abu Bakar benar-benar mengaguminya dan menjadikan contoh teladan yang terbaik.

Seandainya Nabi s.a.w. mahu menikahi gadis-gadis Bani Makhzum, tentu mereka akan mengalu-alukan hajatnya itu. Mereka akan membenarkan memilih mana-mana anak gadis yang disukainya. Hati Walid bin Mughirah dan anak-anak Abdullah bin Abu Rabiah pasti akan senang dengan lamaran itu.

Al-Khattab bin Naufal dan Zaid bin Amru bin Nafil juga turut gembira walaupun kedua-duanya saling bermusuhan. Perkahwinan dengan Bani Hasyim akan menaikkan darjah kemuliaan mereka.

Setiap orang Quraisy sama ada dari Bani Hasyim, Bani Umaiyah, Bani Asad, Bani Taim dan Bani Makhzum akan tetap menerima Nabi s.a.w. sebagai menantu mereka meskipun dia miskin. Nabi s.a.w. berketurunan mulia dan berakhlak terpuji. Namun Nabi s.a.w. belum terpanggil untuk bernikah.

Nabi s.a.w. percaya Tuhan alam ini adalah pencipta pemikiran, kesenangan dan penderitaan. Sentiasa mengharapkan kemuliaan di sisi Allah s.w.t. 

Dia berjuang menjauhkan diri dari kurafat dan fahaman sesat walaupun terpaksa menempuh kesusahan dan menanggung penderitaan bagi menjauhkan diri dari kemewahan dan kecenderungan hawa nafsu. Dia mencintai kemuliaan dan kebenaran.

Nabi s.a.w. menyaksikan kaumnya hidup dalam kucar-kacir, keganasan, pertentangan dan peperangan. Mereka sentiasa bergelumang dengan dosa. Mereka enggan mencari jalan menuju kebaikan, kalau ada orang membuka mata mereka kepada kebaikan dan membimbing mereka sudah pasti pintu kejahatan akan tertutup dalam hati mereka, kejahatan terhalang, kebaikan menyerlah, kemanusiaan akan menjadi tinggi dan mulia.



------------------------
Kuliah Maghrib 3
Surau Al-Maarif, Sungai Sering,
Bukit Antarabangsa
18 Jun 2019






No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Your Website Title
How to Share With Just Friends

How to share with just friends.

Posted by Facebook on Friday, December 5, 2014