Friday, January 25, 2019

PERKEMBANGAN ilmu perubatan sebelum kedatangan islam



Oleh: Ibrahim Jauhari
dikemaskini 18 Jan 2019


Sistem perubatan Islam pada mula sejarahnya telah diceduk daripada pengaruh tamadun kuno. Unsur pengaruh kuno ini kebanyakannya berasal daripada ilmu perubatan Yunani atau sistem perubatan Hipocrates dan juga amalan-amalan perubatan daripada tamadun India dan China (Ismail Saad, 1985: 1). Pengaruh-pengaruh kuno ini kemudiannya dimajukan lagi dengan disiplin ajaran Islam dan dibentuk dalam acuan yang sejajar dengan prinsip-prinsip Islam.

Namun, kemajuan perubatan yang berasaskan dibina sebelum Islam berasaskan prinsip penganalisaan dan pengalaman yang dibentuk daripada konsep aliran Yunani ini mulai lumpuh kira-kira dua ratus tahun sebelum Hijrah. Kelumpuhan ini berpunca daripada peperangan, penyakit yang merebak dan melanda umatnya serta serang puak Barbarian yang merentas pergunungan Alps lalu menyerang Itali dan meruntuhkan empayar Rom (Ismail Saad, 1985: 1).

Apabila meninjau kedudukan ilmu perubatan dalam lingkungan dunia Arab secara khusus sebelum kedatangan Islam, maka terdapat dua pandangan ahli akademik berhubung perkara ini. Ada yang perpandangan bahawa dunia Arab sebelum Islam tidak mempunyai sistem perubatannya yang saintifik dan sistematik dan ada pula sebahagian yang lain mencanggahi pandangan tersebut.

Menurut Ahmad Taha (1992: 9), orang-orang Arab sebelum kedatangan Islam sebenarnya tidaklah begitu arif tentang ilmu perubatan. Sebab itu, mereka amat ketinggalan di dalam bidang ini. Boleh dikatakan asas perubatan mereka ialah mempercayai bahawa punca penyakit adalah dari semangat ruhruh yang jahat. Mereka sering mendapatkan rawatan daripada para sami, tukang-tukang tilik, ahli nujum dan tukang-tukang sihir. Disamping itu, mereka juga menggunakan jampi serapah dan tangkal-tangkal untuk merawat penyakit. (AhmadTaha, 1992).

Pandangan yang dikemukakan oleh Ahmad Taha (1992) di atas tidak dipersetujui oleh Dr. ‘Ali Abdullah al Difa dan beliau menegaskan bahawa kemajuan orang-orang Arab sebelum kedatangan Islam di dalam bidang perubatan sebenarnya telah pun terserlah. Cuma dengan kedatangan Islam yang menjadi titik tolak awal ke arah pembentukan tamadun baru dunia, bidang ini lebih menonjol kepentingan dan keperluannya.

Seorang penulis sejarah ilmu perubatan Islam, Dr. ‘Amir al Najjar menyetujui pendapat yang kedua ini. Beliau memberi alasan bahawa suasana yang menyelubungi tanah Arab seperti banyaknya terdapat pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan telah menolong menjadikan mereka ke depan di dalam ilmu perubatan. Mereka menggunakan sumber-sumber ini di dalam pengamalan perubatan (Amir al Najjar, 1987:52).

Menurut Ustaz ‘Abbas al Aqqad, dakwaan yang mengatakan mereka (orang-orang Arab pada zaman Jahiliyyah) hanya terlibat dengan kaedah perubatan maknawi sahaja (seperti menggunakan tukang nujum, ahli sihir dan sebagainya) sebenarnya kurang tepat. Bahkan bentuk perubatan secara saintifik lebih terdedah kepada mereka. Ini kerana mereka selalu terdedah dengan pekerjaan-pekerjaan yang boleh mendekatkan mereka kepada bentuk perubatan yang lebih saintifik seperti menggembala binatang ternakan. Pekerjaan seperti itu akan mendedahkan kepada mereka tentang sistem kelahiran anak, pembesarannya, bentuk penjagaannya, fungsi anggota tubuh badan, punca penyakit dan berbagai-bagai lagi.

Melalui rekod sejarah, terdapat beberapa orang ahli perubatan saintifik pada zaman tersebut. Antara yang terkemuka ialah Harith bin Kaldah al Thaqafi. Menurut Ibn Hajar, beliau (Harith) sempat berjumpa dengan junjungan Nabi Muhammad S.A.W, bahkan diriwayatkan bahawa ketika Sa’ad bin Abi Waqqas r.a sakit, baginda S.A.W telah mencadangkan supaya dijemput Harith bin Kaldah untuk membantu mengubati penyakit Sa’ad r.a. Walau bagaimanapun, Harith tidak memeluk Islam hingga ke akhir hayatnya (al Asqalani, 1948: 228-229).

Seorang lagi pengamal perubatan terkemuka pada zaman kedatangan Islam ialah Ibn Abi Ramthah al Tamimi. Diriwayatkan bahawa beliau juga mempunyai kepandaian di dalam bidang pembedahan (Amir al Najjar, 1987:58).


Rujukan:



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Your Website Title
How to Share With Just Friends

How to share with just friends.

Posted by Facebook on Friday, December 5, 2014