Sunday, September 1, 2019

PERKAHWINAN


MODUL BERSEPADU KURSUS PRAPERKAHWINAN ISLAM

  
TAJUK 2: PERKAHWINAN
1 JAM


1.         SINOPSIS

Tajuk ini membincangkan mengenai konsep perkahwinan dari sudut tujuan, matlamat dan hikmah perkahwinan. Tajuk ini juga turut menerangkan hukum dan rukun nikah secara terperinci dan antaranya panduan pemilihan calon suami atau isteri. Tajuk ini juga turut menjelaskan tentang wali dan susunan tertib wali serta perkara yang boleh menjejaskan perkahwinan. 


2.         OBJEKTIF

2.1         Memberikan pengetahuan berkaitan konsep perkahwinan dalam Islam.
2.2         Menjelaskan hukum dan rukun nikah.
2.3         Menerangkan syarat-syarat calon suami dan isteri.
2.4         Menjelaskan penentuan wali dalam perkahwinan.
2.5         Memberi penerangan berkaitan perkara yang menjejaskan perkahwinan.


3.         HASIL PEMBELAJARAN

Setelah mengikuti tajuk ini, peserta dapat:

3.1         Memahami konsep asas perkahwinan dalam Islam dengan lebih jelas.
3.2         Menjelas hukum dan rukun-rukun nikah.
3.3         Menghurai syarat-syarat calon suami dan isteri.
3.4         Memahami syarat dan susunan wali dalam perkahwinan.
3.5         Memahami perkara-perkara yang menjejaskan perkahwinan.


4.         KANDUNGAN

Tajuk ini mengandungi enam tajuk utama seperti berikut:

4.1     Takrif perkahwinan.
4.2     Tujuan, matlamat dan hikmah perkahwinan.
4.3     Hukum nikah.
4.4     Rukun nikah.
4.5     Kategori mahram.
4.6     Perkara yang menjejaskan perkahwinan.


1.         PENGENALAN

PERKAHWINAN

- Muqaddimah 
Memberi salam dan bertanya khabar peserta.

- Memperkenalkan diri penceramah.

- Pengetahuan tentang perkahwinan dan kekeluargaan Islam merupakan perkara asas yang perlu diketahui oleh setiap individu sebelum memasuki gerbang perkahwinan. Ilmu yang berkaitan dengan sistem kekeluargaan Islam wajib diketahui oleh pasangan suami isteri kerana ia merupakan perkara yang amat penting bagi mencapai matlamat perkahwinan iaitu kebahagian yang berterusan.


2.         KANDUNGAN

2.1     Takrif perkahwinan
2.2     Tujuan, matlamat dan hikmah perkahwinan
2.3     Hukum nikah
2.4     Rukun nikah
2.5     Kategori mahram
2.6     Perkara yang menjejaskan perkahwinan


3.         TAKRIF PERKAHWINAN

Perkahwinan dari segi bahasa bermaksud: Himpun, kumpul atau cantum. 

Perkahwinan dari segi istilah ialah akad yang menghalalkan persetubuhan dengan lafaz nikah, tazwij atau seumpamanya. Bahawa perkahwinan adalah akad yang menghalalkan pergaulan lelaki dan wanita yang diharuskan berkahwin.

Firman Allah s.w.t. dalam surah an-Nur ayat 32:


A032


“Dan kahwinkanlah orang bujang (lelaki dan perempuan) dalam kalangan kamu, dan orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui”.


4.         TUJUAN PERKAHWINAN

Secara umumnya tujuan perkahwinan dalam Islam adalah untuk memenuhi tuntutan fitrah, mengikut sunnah Rasulullah, menghindari maksiat dan mendapatkan zuriat.

4.1   Tuntutan Fitrah  Allah s.w.t. menjadikan manusia mempunyai keinginan seksual. Kaum lelaki berkeinginan terhadap kaum wanita dan begitulah sebaliknya. Oleh kerana Islam adalah agama fitrah yang memenuhi tuntutan dan mengatur segala urusannya. Ia mensyariatkan perkahwinan bagi menyahut seruan batin manusia dan menjadikannya sebagai cara untuk menyalurkan keinginan tersebut, bukan dengan cara yang kotor dan menjijikkan seperti masyarakat sekarang yang menjalinkan hubungan tanpa ikatan perkahwinan yang sah, melacur, berzina, lesbian, homoseksual dan sebagainya yang telah menyimpang dan diharamkan oleh Islam.



4.2  Sunnah Rasulullah s.a.w. Perkahwinan adalah satu rahmat dan ibadah. Dengan perkahwinan, kita dapat mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w. iaitu melindungi keluarga dengan sifat lemah lembut dan kasih sayang. Semua ini mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w. bersabda:
  
Maksudnya: “Nikah itu sunnahku maka sesiapa yang tidak beramal dengan sunnahku bukanlah dia daripada golonganku.”  (Hadith riwayat Ibnu Majah, No.1846)

Rasulullah s.a.w. bersabda:
  
Maksudnya: “Ada empat perkara yang termasuk daripada sunnah-sunnah para Rasul: Sifat malu, memakai wangian, bersiwak, dan bernikah.” (Hadith riwayat at-Tirmizi, No.1080)

Melalui perkahwinan, kita dapat menunaikan tanggungjawab sebagai seorang suami isteri, ibu bapa, bapa dan ibu mentua serta datuk. Tanggungjawab mendidik anak-anak dan mengatur rumah tangga juga dapat diaplikasikan dalam hidup kita dengan menjadikan keluarga Rasulullah s.a.w. sebagai contoh teladan. Selain itu, hubungan kekeluargaan juga dapat diperkukuhkan demi melahirkan sebuah masyarakat dan seterusnya negara Islam seperti yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.. 


4.3   Menghindari Maksiat  Perkahwinan juga bertujuan untuk memberi perlindungan dan memelihara daripada berlakunya keruntuhan akhlak. Apabila manusia tidak mengikut syariat perkahwinan, mereka akan terdorong melakukan perbuatan maksiat seperti melacur, berzina, bergaul bebas antara lelaki dan wanita. Melalui perkahwinan akhlak dan maruah orang Islam akan sentiasa terpelihara dan berada di tahap yang baik. 

Rasulullah s.a.w. bersabda:

Maksudnya: “Wahai sekalian pemuda-pemuda: Sesiapa di antara kamu yang mampu berkahwin, maka segeralah berkahwin; kerana sesungguhnya ia (kahwin) lebih menundukkan pandangan, lebih menjaga kemaluan. Dan jika dia tidak mampu, maka (digalakkan) berpuasa; itu adalah penjagaan baginya.”  (Hadith riwayat al-Bukhari, No.5066)


4.4  Mendapat Zuriat Salah satu tujuan pernikahan adalah untuk mendapatkan keturunan yang soleh dan usaha untuk memperoleh anak ini dikira sebagai ibadah, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 72:


A072


“Dan Allah menjadikan bagi kamu daripada diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu daripada pasangan kamu: Anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu daripada benda yang baik lagi halal.”

Pernikahan bukan hanya untuk mendapat zuriat semata-mata, tetapi berusaha mencari dan membentuk generasi yang berkualiti iaitu melahirkan zuriat yang soleh dan bertaqwa kepada Allah s.w.t..

Oleh itu, suami isteri bertanggungjawab untuk mendidik, mengajar dan mengarahkan anak-anaknya ke jalan yang diredhai, sesuai dengan agama Islam.


5.             MATLAMAT PERKAHWINAN

  Firman Allah s.w.t. dalam surah ar-Rum ayat 21:


A021

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan orang yang berfikir.”

Matlamat perkahwinan adalah untuk mendapat ketenangan dan kebahagian hidup berkeluarga. 

Perkahwinan akan menyuburkan diri pasangan dengan perasaan kasih sayang dan belas ihsan dan secara tidak langsung menghasilkan ketenangan dan ketenteraman dalam diri seseorang. Apabila suasana tenang dan tenteram wujud contohnya suami, isteri dan anak-anak berkumpul, bergurau dan bermesra menjadikan sebuah keluarga yang tenang dan bahagia serta ibadah yang dilakukan menjadi lebih khusyuk. 


6.         HIKMAH PERKAHWINAN

Perkahwinan dapat membentuk diri dan masyarakat seluruhnya kerana ia dapat:

6.1     Memelihara diri daripada melakukan perkara yang haram seperti zina.

Memelihara diri daripada melakukan perkara yang haram seperti zina Nikah boleh melawan hawa nafsu dan juga boleh menjadi perisai daripada melaksanakan kemungkaran. Kita boleh mengelakkan diri daripada melakukan maksiat dan perzinaan melalui nikah. Malah, inilah suatu sistem sosial yang istimewa dalam Islam yang menghalalkan nikah tetapi mengharamkan zina seperti firman Allah s.w.t. dalam surah an-Nisa’ ayat 24:


 A024

“Dan (diharamkan juga kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan isteri orang, kecuali hamba sahaya yang kamu miliki. (Haramnya segala yang tersebut itu) ialah suatu ketetapan hukum Allah (yang diwajibkan) atas kamu dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuanperempuan yang lain daripada yang tersebut itu, untuk kamu mencari (isteri) dengan harta kamu secara bernikah, bukan secara berzina.” 


Keperluan seksual perlu disalurkan melalui jalan yang betul dan bukannya dengan cara yang haram. Nikah itu berperanan menjaga maruah dan kehormatan insan di samping boleh mengelak fitnah yang timbul daripada pergaulan yang bebas tanpa ikatan syarak. 
 
6.2   Memelihara kesucian keturunan.

Memelihara kesucian keturunan Lelaki secara fitrahnya mempunyai keinginan terhadap wanita. Begitu juga dengan wanita. Kerana itulah syaitan sentiasa mencari jalan untuk menghasut keduanya agar melakukan perbuatan yang dilarang oleh Allah s.w.t.. Dengan perkahwinan, perkara-perkara tersebut dapat dielakkan.

6.3   Membentuk keluarga sakinah dan menyusun masyarakat solehah.

Membentuk keluarga sakinah dan menyusun masyarakat solehah Perkahwinan dapat membentuk keluarga sakinah dan menyusun masyarakat yang solehah. Jiwa ibu bapa disemarakkan dengan perasan dan akhlak yang baik. Ini kerana ia akan memberi impak yang positif dalam mendidik dan membentuk anak-anak. Keadaan ini akan menjadikan generasi berikutnya akan lebih bertaqwa kepada Allah s.w.t.. Rasulullah s.a.w. bersabda:

Maksudnya: "Kahwinilah perempuan pengasih yang mampu melahirkan ramai anak. Sesungguhnya aku berbangga dengan umatku yang ramai pada hari kiamat." (Hadith riwayat Abu Dawud, No.2050)

6.4   Menghubungkan silaturahim.

Menghubungkan silaturahim Perkahwinan bermaksud mencantum sekurang-kurangnya dua buah keluarga. Nabi Muhammad SAW menggalakkan umatnya untuk berkahwin dengan orang jauh. Ini bermakna, lelaki yang ingin berkahwin haruslah memilih isteri yang bukan daripada ahli keluarga dan kaum kerabatnya sendiri. Ini bertujuan bagi mengembangkan hubungan persaudaraan. Islam juga amat menggalakkan umatnya untuk berkahwin dengan mereka yang bukan Islam sebagai salah satu dakwah bagi menyebarkan lagi agama Islam. Namun begitu, tanggungjawabnya amat besar kerana perlu mengislamkan dan mengajar pasangan dahulu dan seterusnya mengamalkannya. Tambahan lagi, Islam juga menyuruh kita untuk mentaati keluarga sendiri.


7.         HUKUM PERKAHWINAN

Nikah mempunyai hukum-hukum tertentu berdasarkan keadaan seseorang sebagaimana berikut:

Harus
Hukum asal perkahwinan. Ia tidak memberi kesan untuk melakukan ataupun meninggalkannya.

Sunat
Sunat berkahwin bagi yang berkemampuan serta berkeinginan untuk berkahwin tetapi masih dapat mengawal diri.

Wajib
Wajib berkahwin pada yang mampu dan bimbang atau yakin akan terjerumus melakukan zina atau perkara yang membawa kepada perzinaan.

Makruh
Makruh bagi yang tiada keinginan untuk berkahwin disebabkan faktor kesihatan, kewangan atau boleh mengganggu amal ibadah dan perjalanan menuntut ilmu.

Haram
Haram berkahwin sekiranya seseorang itu bimbang atau yakin akan menzalimi serta memudaratkan pasangannya.


8.          RUKUN NIKAH

Rukun Nikah:

                  i.         Pengantin lelaki.
                 ii.        Pengantin perempuan.
               iii.         Wali.
               iv.         Dua orang saksi lelaki.
                v.         Sighah (lafaz ijab dan qabul).


9.             SYARAT-SYARAT PENGANTIN

9.1  Syarat-Syarat Pengantin Lelaki Calon pengantin lelaki hendaklah mempunyai syarat-syarat berikut:

  
                                   i.         Islam.
                                 ii.          Lelaki.
                           iii.              Tidak mempunyai empat orang isteri yang sah dalam satu masa (termasuk jika telah bercerai tetapi masih dalam iddah raji’e isteri).
                               iv.           Bukan mahram kepada pengantin perempuan.
                                v.            Bukan dalam ihram.
                              vi.           Kerelaan sendiri-Lelaki yang dipaksa untuk berkahwin dan terpaksa 
                        melafazkan lafaz akad nikah tersebut, maka perkahwinan tersebut tidak sah.

9.2     Syarat-Syarat Pengantin Perempuan Calon pengantin perempuan hendaklah        mempunyai syarat-syarat berikut:

                                  i.      Islam.
                                ii.       Wanita.
                               iii.      Bukan mahram dan tidak ada tegahan syarak dengan lelaki yang 
                         akan menjadi suami.
                               iv.      Bukan isteri orang atau dalam iddah suami terdahulu.
                                 v.     Bukan dalam ihram.
                               vi.     Kerelaan sendiri. 


10.         KRITERIA CALON

A       Kriteria Calon Pengantin Lelaki

Rasulullah SAW bersabda:
  
Maksudnya : “Jika datang kepada kamu (wali) akan pinangan daripada seseorang lelaki yang kamu redha terhadap agamanya dan akhlaknya, maka hendaklah kamu kahwinkan (anak kamu) dengannya, jika kamu tidak melakukannya nescaya akan berlaku fitnah di muka bumi dan kerosakan yang besar.”  (Hadith riwayat at-Tirmizi, No. 1085)
 
Kriteria calon pengantin lelaki adalah seperti berikut:

i.               Menghayati agama.
ii.             Mampu memimpin keluarga.
iii.           Memiliki akhlak mulia.
iv.            Berkemampuan.
v.              Keturunan yang baik.
vi.            Sekufu 


B       Kriteria Calon Pengantin Perempuan

Rasulullah SAW bersabda:
  
Maksudnya:  “Dinikahi seseorang perempuan itu (secara umumnya) kerana empat perkara iaitu hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka hendaklah kamu memilih dalam kalangan mereka yang beragama, nescaya kamu akan selamat (mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat).”  (Hadith riwayat al-Bukhari, No. 5090)


Kriteria calon pengantin perempuan adalah seperti berikut:

i.               Menghayati agama.
ii.             Keturunan yang baik.
iii.           Rupa paras yang cantik.
iv.            Berharta. 


11.         RUKUN NIKAH - WALI

Definisi Wali Wali adalah orang yang memiliki atau diberi kuasa oleh syarak untuk mengakad nikah.

A.        Wali Mujbir

Wali Mujbir Wali nasab yang boleh menikahkan anak atau cucu perempuan yang masih gadis (anak dara) tanpa meminta izin perempuan itu terlebih dahulu. Menurut mazhab Syafie, wali mujbir hanya terdiri daripada bapa, datuk sebelah bapa dan ke atas. Ia dikenali sebagai wali aqrab (dekat).
 

B.      Wali Bukan Mujbir

Wali Bukan Mujbir Wali nasab selain daripada bapa, datuk sebelah bapa dan ke atas. Mereka tidak boleh menikahkan perempuan tersebut yang masih gadis (anak dara) tanpa meminta keizinan terlebih dahulu. Juga dikenali sebagai wali ab`ad (jauh).

C.      Wali Hakim Wali

Wali Hakim Wali yang ditauliahkan oleh sultan atau raja  untuk menikahkan perempuan yang tidak mempunyai wali nasab atau apabila berlaku salah satu daripada sebab-sebab berikut:

i.               Tiada Wali Nasab. 
ii.             Wali tidak memenuhi syarat wali dan wali yang berikutnya tiada.
iii.           Wali Enggan/ Ingkar tanpa sebab yang munasabah:
- Suka menyembunyikan diri semasa hari perkahwinan.
- Wali sengaja menangguhkan akad nikah tanpa sebab.
- Meminta habuan untuk menjadi wali.
- Mengugut sesuatu sekiranya berlakunya perkahwinan.
iv.           Wali Ghaib (hilang) tidak dapat dikesan.
v.             Wali ditahan dan tidak dapat dihubungi. 
vi.           Anak tidak sah taraf. 
vii.         Wali Akrab berkahwin dengan pemohon (wanita) dan tiada wali setaraf.


12.         SYARAT WALI

Syarat-syarat wali adalah seperti berikut:

               i.                   Islam.
             ii.                   Lelaki (sebelah bapa).
           iii.                   Baligh. 
            iv.                   Sempurna akal.
              v.                   Merdeka.
            vi.                   Adil (tidak fasiq).
          vii.                   Tidak dipaksa.
        viii.                   Bukan dalam ihram.
            ix.                   Bukan safih. 


13.          SUSUNAN WALI

Tertib wali wajib dituruti. Sekiranya wali pertama tiada, hendaklah diambil wali yang kedua dan jika wali kedua tiada, hendaklah diambil wali yang ketiga dan seterusnya.

Carta Susunan Wali dan Urutan Susunan Wali

i.               Bapa.
ii.              Datuk (bapa kepada bapa) dan ke atas.
iii.            Saudara lelaki seibu sebapa.
iv.              Saudara lelaki sebapa.
v.               Anak saudara lelaki seibu sebapa.
vi.             Anak saudara lelaki sebapa.
vii.           Anak lelaki kepada anak saudara lelaki seibu sebapa ke bawah.
viii.         Anak lelaki kepada anak saudara lelaki sebapa ke bawah.
ix.             Bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa.
x.               Bapa saudara sebelah bapa sebapa.
xi.             Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa (sepupu).
xii.           Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa sebapa (sepupu).
xiii.         Anak lelaki sepupu seibu sebapa ke bawah.
xiv.          Anak lelaki sepupu sebapa ke bawah.
xv.           Bapa saudara bapa sebelah bapa seibu sebapa (datuk saudara).
xvi.        Bapa saudara bapa sebelah bapa sebapa (datuk saudara).
xvii.      Anak lelaki datuk saudara seibu sebapa.
xviii.    Anak lelaki datuk saudara sebapa.
xix.        Anak lelaki kepada anak lelaki datuk saudara seibu sebapa ke bawah.
xx.          Anak lelaki kepada anak lelaki datuk saudara sebapa ke bawah.
xxi.        Bapa saudara datuk seibu sebapa (moyang saudara).
xxii.      Bapa saudara datuk sebapa (moyang saudara).
xxiii.    Anak lelaki moyang saudara seibu sebapa. 
xxiv.     Anak lelaki moyang saudara sebapa.
xxv.       Anak lelaki kepada anak lelaki moyang saudara seibu sebapa.
xxvi.     Anak lelaki kepada anak lelaki moyang saudara sebapa.
xxvii.   Wali Hakim. 


14.          SEBAB PERPINDAHAN WALI

Perpindahan wali aqrab (dekat) kepada wali ab`ad (jauh) boleh berlaku dengan sebabsebab berikut:

               i.                   Kafir atau murtad.
             ii.                   Belum baligh.
           iii.                   Tidak sempurna akal.
            iv.                   Fasiq.
              v.                   Kematian wali aqrab (dekat).


15.         RUKUN NIKAH - SAKSI

Saksi hendaklah mempunyai syarat-syarat berikut:

               i.                   Islam.
             ii.                   Sempurna akal.
           iii.                   Baligh.
            iv.                    Lelaki.
              v.                    Boleh mendengar.
            vi.                   Boleh melihat.
          vii.                   Boleh bertutur.
        viii.                   Faham lafaz ijab dan qabul.
            ix.                   Tidak ditentukan menjadi wali.
              x.                   Adil.


16.         RUKUN NIKAH – SIGHAH (LAFAZ IJAB DAN QABUL)


Ijab dan qabul hendaklah mengandungi perkara-perkara berikut:

               i.                   Lafaz ijab dengan lafaz nikah atau tazwij atau terjemahan.
             ii.                   Lafaz akad tidak mengandungi ta`lik.
           iii.                   Lafaz akad tidak mengandungi batas waktu.
            iv.                   Lafaz qabul hendaklah mengandungi lafaz terima nikah.
              v.                   Lafaz qabul hendaklah disebut nama perempuan atau ganti nama.
            vi.                   Lafaz ijab dan qabul hendaklah berturutturut (tidak diselangi dengan perkataan yang lain atau diam yang lama antara ijab dan qabul).
          vii.                   Hendaklah berkekalan kelayakan orang yang melafazkan ijab dan qabul serta saksi-saksi itu sehingga selesai akad.
        viii.                   Lafaz ijab dan qabul didengar dan difahami oleh dua orang saksi.


17.          KATEGORI MAHRAM DAN SEBABNYA

Dalam beberapa keadaan, Islam mengharamkan seorang lelaki untuk berkahwin dengan perempuan tertentu. Pengharaman kahwin ini terbahagi kepada dua iaitu:

A.      Haram selama-lamanya
Haram dengan sebab keturunan

i.       Ibu.
ii.      Nenek sebelah ibu dan bapa dan ke atas.
iii.     Anak perempuan.
iv.      Cucu perempuan.
v.       Cicit perempuan dan ke bawah.
vi.      Saudara perempuan seibu sebapa atau seibu atau sebapa.
vii.     Anak saudara perempuan daripada saudara lelaki atau perempuan.
viii.    Cucu saudara perempuan daripada saudara lelaki atau perempuan dan ke bawah.

B.      Haram dengan sebab persemendaan (perkahwinan)

i.               Isteri kepada bapa (ibu tiri), termasuk juga isteri kepada datuk dan ke atas.
ii.             Isteri kepada anak (menantu), termasuk juga isteri kepada cucu dan ke bawah.
iii.           Anak tiri perempuan atau cucunya dan ke bawah.

C.      Haram dengan sebab susuan
i.       Ibu susuan.
ii.      Anak perempuan yang disusui.
iv.           Saudara perempuan susuan.
v.             Ibu saudara susuan sebelah ibu.
vi.            Ibu saudara susuan sebelah bapa.
vii.         Anak saudara susuan bagi saudara perempuan.
viii.       Anak saudara susuan bagi saudara lelaki.

D.      Haram sementara waktu

i.               Saudara perempuan isteri seibu sebapa atau seibu atau sebapa.
ii.             Ibu saudara kepada isteri sebelah bapa atau sebelah ibu.
iii.            Anak saudara perempuan kepada isteri seibu sebapa atau sebapa atau seibu.
iv.           Perempuan yang hendak dikahwini itu tidak menjadi isteri yang kelima kepada lelaki yang sedang beristeri empat.
v.             Perempuan yang masih menjadi isteri orang.
vi.           Perempuan yang dalam iddah orang lain.
vii.         Perempuan yang ditalak tiga (hanya bagi suami yang menceraikannya).


18.          PERKARA YANG MENJEJASKAN PERKAHWINAN

Perkara yang menjejaskan perkahwinan adalah:
- Mengingatkan peserta lafaz zihar terbahagi kepada dua iaitu sarih dan kinayah.  - Contoh lafaz sarih seperti “belakang kau seperti belakang mak aku.” - Contoh lafaz kinayah adalah “tangan awak seperti tangan mak saya.” Lafaz kinayah perlu dengan niat. - Menerangkan rukun zihar adalah suami, isteri, lafaz dan orang yang disamakan (orang yang diharamkan berkahwin selama-lama dengannya).

A.      Zihar
Zihar  Lafaz suami yang menyamakan salah satu anggota isterinya dengan ibunya (suami) atau mahramnya (suami) sehingga haram suami tersebut menyetubuhi isterinya. 

Kafarah zihar adalah mengikut tertib: 

i.               Memerdekakan seorang hamba Muslim
ii.             Berpuasa dua bulan berturut-turut
iii.           Memberi makanan enam puluh orang miskin (secupak seorang) 


B.      Ila’

Ila’  Sumpah suami untuk tidak melakukan hubungan kelamin dengan isterinya dalam masa empat bulan atau lebih dan hukumnya haram.

Kafarah ila’ adalah mengikut pilihan: 

i.               Memberi makan kepada sepuluh orang miskin
ii.             Memberi pakaian kepada sepuluh orang miskin
iii.           Memerdekakan seorang hamba Muslim
iv.           Berpuasa selama tiga hari 


19.         DALIL AL-QURAN

Firman Allah SWT dalam surah al-Mujadalah ayat 3 – 4:


A003
A004


“Dan orang yang menziharkan isterinya, kemudian mereka berbalik daripada apa yang mereka ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur. Dengan hukum yang demikian, kamu diberi pengajaran (supaya jangan mendekati perkara yang mungkar itu) dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (memerdekakan hamba), maka hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum mereka (suami isteri) itu bercampur. Akhirnya sesiapa yang tidak sanggup berpuasa, maka hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin. Ditetapkan hukum itu untuk membuktikan keimanan kamu kepada Allah dan rasul-Nya (dengan mematuhi perintah-Nya serta menjauhi adat jahiliyah). Dan itulah batasbatas hukum Allah; dan bagi orang yang kafir disediakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”


20.          DALIL AL-QURAN

Firman Allah SWT dalam surah al-Mai’dah ayat 89:


A083

“Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin daripada jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) memberikan kepada keluarga kamu atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah dan jagalah peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (hukum-hukum agama-Nya) supaya kamu bersyukur.”


21.          PENUTUP

Terima kasih

- Membuat rumusan berkaitan perkahwinan.
- Mengakhiri sesi dengan ucapan salam dan terima kasih.






No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Your Website Title
How to Share With Just Friends

How to share with just friends.

Posted by Facebook on Friday, December 5, 2014