Tokoh perubatan menjawab dialog secara santai
Ketokohan Harith bin kaldah diakui oleh kawan dan lawan.
Ketokohannya dibuktikan dengan dialog antara Kisra Anu Syirwan dengan Harith
bin Kaldah. Pertanyaan demi pertanyaan yang diajukan oleh Kisra Anu Syirwan
dijelaskan oleh Harith secara spontan - tepat:
"Bagaimana engkau
mengkaji ilmu perubatan? Apakah dia asal kepada perubatan?" Soal
Kisra.
"Pencegahan."
"Apakah maksud pencegahan."
"Bercakap dengan sopan bertindak dengan belas
kasihan."
"Benar! Apakah dia yang dikatakan penyakit?"
"Makan berlebihan."
"Benar katamu. Apa pendapat kamu tentang berbekam?"
"Sebaiknya dilakukan ketika pening kepala dan untuk
menyerikan wajah. Badan akan sihat. Urat saraf akan sihat. Hidup pasti
gembira."
"Apakah pendapat kamu tentang masuk ke bilik air?"
"Orang yang kenyang jangan masuk ke bilik air. Jangan
sampai isterimu diperdaya oleh si pemabuk. Jangan berbogel di tengah malam.
Jangan menghadap makanan ketika marah. Sekiranya jiwamu tenang, fikiran akan
tenang. Sekiranya engkau makan sedikit tidurmu akan lena dan nyenyak."
"Apakah pula pandanganmu tentang ubat?"
"Jauhilah segala-gala suatu yang boleh menghilangkan
kesihatan. Jauhi setiap penyakit. Seandainya badan dijaga dengan baik, badan
akan sihat. Jika sebaliknya, badan akan binasa."
"Apa pendapatmu tentang minuman?"
"Minuman yang paling baik ialah yang menyihatkan tubuh
badan. Minuman yang paling enak ialah yang engkau sukai. Jangan minum terlalu
banyak. Nanti engkau akan sakit kepala dan akan mendapat penyakit-penyakit yang
berbagai jenis."
"Manakah daging yang paling baik?"
"Daging kambing (biri-biri) muda dan daging dendeng
yang masin merosakkan kesihatan. Jauhi daging haiwan yang dimakan oleh binatang
buas dan daging lembu."
"Apakah pandangan kamu tentang buah-buahan?"
"Bergantung pada jenisnya. Jangan makan buah-buahan
yang telah lama (lama diperam dan busuk). Sebaik-baik buah ialah delima dan
atraj (sejenis limau seperti limau purut). Sebaik bunga ialah mawar dan
banafsaji. Sebaik-baik sayuran ialah handaba' dan khas."
"Apakah pendapat kamu tentang minum air?"
"Air penting untuk badan. Minumlah mengikut keperluan
badanmu. Minum air sesudah tidur adalah satu bahaya. Sebaik-baik air ialah yang
paling pahit dan paling jernih."
"Bagaimana dengan rasanya?"
"Rasa tidak penting kerana rasa sebenarnya lahir
daripada hidup."
"Bagaimana dengan warnanya?"
"Warna adalah bayangan dari mata. Mata yang mencerap
segala warna."
Kisra Anu Syirwan terus berdialog dengan Harith Kaldah
manakala menteri-menteri dan pembesar istana mengikut perbincangan tersebut
dengan tekun.
No comments:
Post a Comment